Mikel Arteta, dengan penuh rasa kecewa, memohon maaf kepada segenap penyokong Arsenal selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Brighton di laman sendiri awal pagi tadi, sekali gus menamatkan impan mereka untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Gol babak kedua daripada Julio Enciso, Deniz Undav dan Pervis Estupinan memberikan Brighton kemenangan penting di Stadium Emirates dan ia bermakna, Manchester City hanya memerlukan satu kemenangan lagi daripada tiga baki perlawanan musim ini untuk dinobatkan sebagai juara.

Bahkan, City mungkin boleh mengesahkan gelaran mereka seawal Sabtu ini seandainya Arsenal tewas kepada Nottingham Forest memandangkan kedua-dua pasukan di tangga teratas itu kini dibezakan empat mata dan City pula berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding Arsenal, yang gagal mencatatakan kemenangan dalam lima daripada tujuh perlawanan terakhir.



"Ia benar-benar perasaan berbeza berbanding apa yang kami rasakan hujung minggu lalu (ketika menewaskan Newcastle United), di mana kami berasa amat berbangga dan berasa telah melakukan apa yang kami perlukan untuk menang pada waktu penting. Hari ini semuanya berbeza.

"Kami perlu memohon maaf kepada penyokong kami, terutama atas apa yang berlaku dalam babak kedua.

"Saya terlebih dahulu perlu menerima apa yang berlaku dalam babak kedua dan memahaminya.

"Selepas itu, sehingga ia tamat secara matematik...tempat kedua sudah berrada dalam tangan.

"Itu tidak akan berubah. Kami perlu menerimanya dan ia akan mengambil masa beberapa hari.

"Buat masa ini, ia hanya kekecewaan. Perasaannya adalah seperti kami melepaskan perlawanan dalam babak kedua secara percuma.

"Kami berusaha dengan amat gigih dan untuk berada di posisi terbaik dan hari ini, kami berada dalam momen kritikal untuk terus berharap dan menggali impian itu.

"Apabila anda berada dalam momen itu, anda tidak boleh lakukan seperti apa yang kami lakukan dalam babak kedua.

"Kemudian, kami perlu melihat sama ada pasukan ini mampu untuk melakukannya di pentas terbesar. Terdapat banyak perkara untuk dikaji dan difikirkan kerana ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.