Emas Anuar STL: Sobey pacu kemenangan Terengganu Turtles singkir Johor Tigris

Saufi Tahir
October 19, 2024 18:07 MYT
Terengganu Turtles tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan Johor Tigris dalam aksi straight set 15-12,15-8, GP Penang Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) di Spice Arena, sebentar tadi.
Johor Tigris mempertaruhkan skuad terbaiknya diketuai Farhan Adam (pengumpan), Hairul Hazizi (tekong) dan Teerapat Deecharoen (perejam). Manakala, Terengganu Turtles meletakkan barisan sama seperti Zulkifli Razak atau lebih dikenali sebagai Sobey (tekong), Zulhusni Basri (pengumpan) dan Aman Rosdi (perejam).
Terengganu bermula garang apabila meninggalkan anak didik Jamaluddin Hassan dengann jurang enam mata dibelakang untuk mendahului dengan kedudukan 8-2. Namun, Johor kembali memperkemaskan ketajaman rejaman mereka untuk mengikat kembali kedudukan 12-12.
Tetapi ketangkasan tekong Terengganu yang lebih dikenali sebagai Sobey sukar dijinakkan apabila Johor terpaksa akur untuk tewas 15-12 dalam set pertama.
Babak kedua berlangsung dengan lebih sengit apabila Johor cuba untuk mengheret Terengganu ke set penentuan.
Antara yang mencuri tumpuan adalah ketika Terengganu cuba memperkukuhkan kedudukan mereka, servis yang dilakukan Sobey menembusi jaring hingga menyebabkan perlawanan terhenti seketika untuk menukar jaring baru.
Begitupun, Terengganu tidak berdepan masalah untuk menempah slot mereka ke separuh akhir selepas menewaskan Johor yang bergelut untuk mempersembahkan aksi terbaik mereka untuk tewas 8-15.
Terengganu bakal berdepan cabaran Perak Bison dalam aksi separuh akhir pertama esok.
#Terengganu #Sepak Takraw #Johor Tigris #Emas Anuar STL #Turtles
;