Emas Anuar STL: Masalah kesihatan Zulhusni Basri tidak jejas langkah Terengganu Turtles ke final
Najmi Iman
September 28, 2024 13:24 MYT
September 28, 2024 13:24 MYT
Pertembungan pertama separuh akhir Grand Prix Terengganu, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) 2024 menyaksikan sorakan peminat tempatan menjadi saksi Terengganu Turtles melangkah ke pusingan akhir dalam aksi penuh bertenaga itu, sebentar tadi.
Juara Kumpulan C itu terlebih dahulu menguasai perlawanan apabila tidak membazir masa menamatkan aksi set pertama dengan 15-8 untuk membawa misi ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, malam ini.
Pun begitu, skuad kendalian Mohd Khalid tidak berputus asa demi menghidupkan peluang ke peringkat akhir tatkala mengikat perlawanan 1-1 selepas mudah menewaskan pasukan tuan rumah di set kedua 15-6.
Menuju perlawanan penentuan di set ketiga, pertemuan sengit berlaku di mana kedua-dua pasukan sering bertukar mata dan tidak mahu jurang mata dibezakan jauh termasuk mengutip mata-mata penting untuk mengikat permainan.
Pujian harus diberikan apit kiri skuad bimbingan Mohd Faisal, Zulhusni Basri, yang tetap bersemangat meskipun mengalami masalah kesihatan menyebabkannya terpaksa menerima rawatan beberapa kali sebelum servis dimulakan.
Walaupun kesakitan membelenggu dirinya, namun kecemerlangan yang ditampilkan Zulhusni membawa Terengganu Turtles ke perlawanan akhir, sekali gus menewaskan PDRM Defenders 15-11 di set ketiga.