Emas Anuar STL: Bomba Fighters tempah tiket ke pusingan kalah mati
Najmi Iman
October 30, 2024 17:42 MYT
October 30, 2024 17:42 MYT
Bomba Fighters terlebih dahulu menempah tiket ke pusingan kalah mati Grand Prix Johor Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) selepas menundukkan Kelantan Warriors 2-0 di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru, sebentar tadi.
Trio yang dibarisi Afiq Mazlan sebagai pengumpan, Rizani Ruzaini selaku perejam dan tekong import, Pongsatorn Phong, bermula lemau dengan ketinggalan 4-9 sebelum mengikat kedudukan 14-14.
Skuad kendalian Hirman Omar enggan melepaskan peluang tersebut apabila kebangkitan pasukannya disudahi dengan kemenangan di set pertama 17-14.
Kecemerlangan itu diteruskan di set kedua apabila mengambil kesempatan daripada kesilapan Kelantan Warriors untuk mendahului 9-4.
Bomba Fighters tidak menunggu lama untuk mengakkhiri aksi hari kedua tersebut dengan mengungguli set kedua 15-12.