Emas Anuar STL: Azlan Alias bintangi kemenangan Black Panthers, Johor Tigris dikejutkan Bomba Fighters
Ammar Hakim
May 27, 2023 19:37 MYT
May 27, 2023 19:37 MYT
Perejam skuad kebangsaan, Azlan Alias, membintangi kemenangan Penang Black Panthers dalam aksi sulung saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) sebentar tadi.
Ibarat sirih pulang ke gagang, Azlan Alias yang sebelum ini menjadi tonggak utama KL Thunder kini kembali bersama Penang Black Panthers dengan langkah kanan.
Bergandingan bersama pemain berpengalaman, Zaim Razali sebagai pengumpan dan Zarif merican selaku tekong cukup mendominasi Negeri Sembilan Antlers.
Rejaman dan hadangan daripada Azlan banyak memberikan mata buat juara tiga kali STL itu untuk terus mencabar dan selepas satu jam beraksi, kemenangan 21-13, 21-18 menoktahkan cabaran Antlers dalam aksi sulung musim ini.
Sementara finalis Piala Juara-Juara musim lalu, Johor Tigris dikejutkan Bomba Fighters yang bangkit selepas tunduk set pertama 14-21.
Fighters yang dibarisi Irsyad Faiz sebagai tekong, Shohibul Fadillah bertindak di apit kiri dan Ridauddin Abdul Ghani sebagai sebagai perejam mempamerkan aksi konsisten untuk menoktahkan kemenangan 21-17, 21-10 untuk skuad kendalian Hirman Omar.