Atlet lompat tinggi negara, Eizlan Dahalan, tetap menghormati Lee Hup Wei sebagai jurulatih barunya walaupun pernah tiga kali mengalahkan bekas jaguh negara itu.

Atlet muda dari Sabah itu percaya pengalaman yang dimiliki Hup Wei mampu membantunya untuk memperbaharui rekod peribadi terbaiknya dalam Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turki bermula Selasa depan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Eizlan, yang memenangi pingat emas dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Thailand baru-baru ini, berkata: "Setakat ini saya masih berlatih dengan konsisten walaupun baru balik daripada AUG.

"Lompatan saya juga agak baik di sana dengan 2.10 meter dan Insya-Allah, kalau ada rezeki saya akan perbaharui rekod peribadi terbaik yang saya lakukan dalam Sukan SEA lalu (2.18 meter di Vietnam).

"Sudah seminggu saya bersama Hup Wei, saya rasa pengalamannya amat-amat banyak, terutama daripada segi teknik.

"Dia melayani saya seperti biasa, seperti kawan-kawannya tetapi saya tetap menghormatinya sebagai jurulatih," katanya.