eGG Network, ESI lancar siri dokumentari esukan 'Jalur 14'
Muzaffar Musa
November 16, 2020 18:53 MYT
November 16, 2020 18:53 MYT
Saluran dan platform esukan Astro, eGG Network, akan melancarkan Jalur 14, sebuah siri dokumentari lima episod berkisarkan kebangkitan industri esukan dan permainan video di Malaysia sepanjang 14 tahun ini.
Dengan menjalinkan kerjasama dengan Esport Integrated (ESI), sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dokumentari itu menampilkan 14 ikon esukan Malaysia, termasuk pemenang pingat emas pertama esukan negara, Dr. Yew Weng Kean, selain Chai "Mushi" Yee Fung, Ng "YamateH" Wei Poong, Fariz "Soloz" Zakaria dan Ahmad Fuad "Fredo" Razali mengenai susah payah, cabaran dan pengalaman mereka sepanjang perjalanan meletakkan Malaysia di mata dunia.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay, berkata: "Kami gembira untuk menjadi rakan penerbitan untuk siri dokumentari pertama seperti ini bersama ESI yang menceritakan mengenai kisah mereka yang menjuarai dan membina industri esukan dan permainan video di Malaysia.
"Kami, bersama semua pemain permainan video dan peminat, turut gembira apabila KBS terus mengiktiraf dan menyokong industri ini dengan kepelbagaian usaha dan harapan kami dapat meneruskan untuk bersama-sama membina bakat tempatan yang akan ke depan untuk menghasilkan kejayaan di pentas antarabangsa.
"Kami percaya esukan bukan sekadar bermain permainan video dan ini dapat dilihat dalam Jalur 14, di mana kami memperkenalkan pemain utama yang telah memberikan impak dalam industri ini dengan pelbagai cara.
"Kami juga mahu berterima kasih kepada penaja kami, Yoodo, Zotac, Predator dan Suncycle, yang telah menyokong kami dalam perjalanan ini.
"Kami berharap peminat akan menikmati siri dokumentari ini di eGG Network dan turut berasa bangga dengan seberapa jauh esukan dan permainan video telah berkembang di negara ini," katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang turut hadir dalam pelancaran siri dokumentari itu hari ini, menekankan bahawa kerajaan percaya dan menyokong perkembangan industri itu.
"KBS terus percaya potensi industri esukan dan permainan video. Dengan peruntukan RM15 juta untuk esukan dalam belanjawan yang diumumkan baru-baru ini, kami mahu usaha kami untuk mencipta peluang yang akan meningkatkan kemahiran dan perkembangan golongan belia kita yang meminati industri ini.
"Kami amat berbangga dengan bakat-bakat yang diperkenalkan dalam Jalur 14.
"Kami berharap kisah mereka akan memberikan inspirasi buat kesemua pemain permainan video untuk menjadi pemangkin dalam industri esukan di Malaysia," katanya.
Episod pertama Jalur 14 akan ditayangkan secara perdana pada jam 9 malam, 26 November ini di saluran eGG Network (800).
A Malaysian esports and gaming docuseries is coming soon to eGG Network (Astro Ch.800HD). Jalur 14 will be officiated by YB Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican, Minister of Youth and Sports on Monday, 16 November 2020 at 3:00pm, LIVE on FB eGG Network, ESI - Esports Integrated pic.twitter.com/r3sdjuK3qv
— KBSMalaysia (@KBSMalaysia) November 15, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.