Eddy ambil peluang bersedia lebih awal

Penulis Jemputan
July 3, 2018 19:29 MYT
Penembak negara, Eddy Chew, mahu melupakan kekecewaan tidak dapat beraksi di pentas Sukan Asia Indonesia dengan memberi tumpuan kepada persediaan awal bagi menghadapi beberapa pertandingan tahun depan.
Sebelum ini, Eddy diberi peluang untuk menyertai skuad menembak negara ke Sukan Asia, namun tersenarai dalam kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Bagaimanapun, dia mengambil keputusan menarik diri berikutan tidak dapat mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk ke temasya berkenaan, bersama atlet yang mengambil bahagian bagi acara trap, Bernard Yeoh.
Situasi itu menyaksikan tiada lagi pertandingan luar negara buat Eddy tahun in dan dia bertekad untuk membuat persediaan awal, khususnya bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina.
"Untuk tahun 2018, saya rasa sudah tiada lagi pertandingan, cuma mungkin Kejohanan Dunia di Korea Selatan walaupun saya sedar peluang amat tipis.
"Saya juga mempersiapkan diri untuk Sukan SEA serta kejohanan di Itali tahun depan. Ini peluang terbaik untuk saya bersedia lebih awal.
"Tahun ini juga saya banyak melakukan catatan terbaik," katanya.
Ketiadaan Eddy menyaksikan skuad menembak negara perlu melakukan perancangan lain bagi acara 10 meter air pistol campuran yang buat julung kali diperkenalkan dalam Sukan Asia.
Secara keseluruhan, Eddy tetap melihat dirinya mempamerkan peningkatan sepanjang tahun ini berbanding beberapa persembahan kurang konsisten pada 2017.
"Di peringkat kebangsaan, saya tidak pernah mencuba acara itu, jadi saya tidak tahu mengenai skuad negara.
"Setiap negara boleh menghantar satu pasukan dan saya rasa Johnathan Wong dan Joseline Cheah Lee Yean mampu melakukan gandingan yang baik."
#sea #“Sukan #2018” #Asia #“Menembak” #2019” #Chew” #“Eddy
;