Cuaca pengaruhi lontaran Ziyad di Tunisia
Sinar Harian
February 10, 2023 16:33 MYT
February 10, 2023 16:33 MYT
Jurulatih kepada atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli, iaitu Mohd Faizol Harun, menyifatkan Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2023 di Stadium Olahraga Rades, Tunisia, merupakan pentas untuk anak buahnya itu memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.
Jelasnya, pengalaman di Tunisia itu juga merupakan persediaan untuk menghadapi Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei depan.
“Jika ditanya mengenai prestasinya pula, sejujurnya pada saya keputusan yang diraih Ziyad di Tunisia kurang memuaskan.
“Semalam cuaca di bawah 10 darjah Celsius dengan hujan dan angin kuat,” katanya.
Kontinjen negara melabuhkan cabaran GP Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia dengan meraih tiga emas dan satu perak.
Dua pingat emas terakhir negara dijelmakan atlet lompat jauh, Datuk Abdul Latiff Romly, dan Muhammad Ziyad.
Abdul Latiff mengungguli acara lompat jauh lelaki T13/20 dengan lompatan 6.90 meter (m) mengatasi peserta Arab Saudi, Hassan Dawshi (6.08m), dan Mohamed Camara (Guinea-Bissau, 5.12m).
Sementara itu, Muhammad Ziyad mendominasi acara lontar peluru lelaki F11/12/20 dengan catatan 15.93m diekori atlet Uzbekistan, Elbek Sultonov (14.16m), dan Amir Soltane dari Tunisa (10.51m).
Terdahulu, emas pertama negara disumbangkan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m lelaki T35/36 (kecacatan fizikal) dengan catatan 12.51 saat.
Sementara itu, pingat perak negara pula dihasilkan Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah bagi acara 100m T11/12 lelaki (masalah penglihatan).
GP Olahraga Para Dunia 2023 seterusnya dijadualkan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Februari hingga 1 Mac ini.
Kredit: Sinar Harian