Cristiano Ronaldo tidak letak pelan jangka masa panjang
Shaiful Shamsudin
November 13, 2024 10:11 MYT
November 13, 2024 10:11 MYT
Cristiano Ronaldo telah mengakui tidak boleh memikirkan terlalu jauh lagi ketika dia menghampiri usia 40-an.
Ronaldo, yang telah menyumbat gol terbanyak dalam sejarah, masih membintangi Al-Nassr di Arab Saudi dan menjadi pemain utama dalam barisan Portugal bimbingan Roberto Martinez.
Bekas bintang Real Madrid itu akan mencecah umur 40 tahun pada Februari depan walaupun kariernya tidak menunjukkan tanda-tanda akan perlahan dan sudah menjaringkan 10 gol untuk kelabnya musim ini.
Dia juga mencecah 900 gol sepanjang kerjayanya ketika merobek gawang Croatia pada September lalu dan sejak itu telah menambah dua lagi gol antarabangsa ke dalam koleksinya.
Ronaldo secara terbuka menetapkan sasarannya untuk menjaringkan 1,000 gol sebelum bersara, dan sasaran jangka pendek itu kini menjadi keutamaan dalam kariernya.
"Saya kini menjalani kehidupan dengan seadanya. Saya tidak boleh lagi berfikir terlalu jauh," katanya selepas menerima Platinum Quinas, iaitu penghormatan tertinggi daripada negaranya.
“Saya cakap nak capai 1,000 gol tapi nampaknya sekarang semuanya berjalan dengan lancar, bulan lalu ia dah capai 900.
Big win! ?? pic.twitter.com/Yf6vPy0wje
— Cristiano Ronaldo (@Cristiano) November 5, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ia mengenai hidup pada ketika ini, melihat bagaimana kaki saya akan bertindak balas dalam beberapa tahun akan datang.
"Jika saya sudah mencapai 1,000 gol, itu tidak mengapa tetapi andai tidak berjaya, saya sudah memahat nama sebagai pemain dengan jaringan terbanyak dalam sejarah."
Presiden FPF, Fernando Gomes, memuji Ronaldo sebagai duta untuk Portugal.