Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, menolak agar perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dihentikan sementara sempena Krismas berikutan peningkatan kes COVID-19 kerana dia berasakan ia hanya akan menambahkan lagi masalah.

Lima perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini telah ditangguhkan sementara tiga daripada perlawanan pertengahan minggu ini juga dibatalkan.

Pandemik itu telah melanda banyak kelab EPL dengan Chelsea juga mencatatkan empat kes positif sebelum seri 1-1 dengan Everton semalam.

Situasi itu menyebabkan beberapa pihak termasuk pengurus Brentford, Thomas Frank, untuk mencadangkan agar semua perlawanan harus ditangguhkan untuk sekurang-kurangnya sehingga 'Boxing Day'.

Begitu juga, pengurus Newcastle United, Eddie Howe, yang menyifatkan jumlah penangguhan perlawanan telah menyebabkan integriti EPL dipersoalkan.

Tuchel menganggap tiada jawapan yang tepat untuk langkah itu apabila menegaskan meskipun hanya satu perlawanan ditangguhkan, ia tetap memberi kesan besar kepada perlawanan lain disebabkan peraturan kuarantin.

"Howe mempunyai alasan tersendiri, tetapi ada juga yang berkata bahawa kami harus meneruskan perlawanan. Tiada jawapan tepat kepada semua soalan ini yang sedang menjadi bualan masyarakat dan bola sepak," katanya kepada pemberita.



"Itulah sebabnya saya tidak fikir saya harus keluar dengan satu pendapat yang tepat dan membuat diri sendiri fikir bahawa saya sahaja yang betul dalam soal ini.

"Keadaan ini sangat kompleks, kesihatan dan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Kami masih sangat bertuah kerana dapat bekerja dan mempunyai pengecualian daripada segi peraturan.

“Kami mendapat keistimewaan untuk diuji sepanjang masa tetapi saya faham maksudnya.

"Anda boleh berakhir dalam situasi yang anda rasa tidak adil atau meragui tahap integriti tetapi ada gambaran yang lebih besar untuk difokuskan. Saya masih melihatnya di kedua-dua sudut.

"Jika anda membatalkan satu perlawanan, ini bermakna anda akan menangguhkan tiga kerana proses kuarantin, kemudian anda mungkin menghadapi masalah lain pula.

"Jadi saya dapat memahami tindakan untuk mengekalkan seberapa banyak perlawanan yang mungkin. Saya tidak memilih jalan ini demi mencipta alasan atau menyalahkan pihak lain, ia tidak membantu keadaan."