City kenduri gol di Etihad
Penulis Jemputan
October 15, 2017 10:31 MYT
October 15, 2017 10:31 MYT
MANCHESTER CITY 7 STOKE CITY 2
Skuad kendalian Pep Guardiola, Manchester City, meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas membelasah Stoke City 7-2 di Stadium Etihad, semalam.
Beraksi di laman sendiri, skuad Citizens turun tanpa penyerang utama, Sergio Aguero, yang sekadar memanaskan bangku simpanan selepas baru pulih daripada kecederaan tulang rusuk.
Pengganti Aguero, Gabriel Jesus, membuktikan dirinya mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan apabila meledak gol pertama pasukan pada minit ke-17 dengan menyempurnakan hantaran leret Kyle Walker.
Dua minit kemudian, Raheem Sterling menambah gol kedua selepas umpanan Leroy Sane berjaya membuka ruang buat pemain England itu sebelum David Silva menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-27.
Pelawat cuba merapatkan jurang menerusi jaringan penyerang, Mame Biram Diouf, seminit sebelum tamat babak pertama selepas percubaannya terkena kaki pertahanan City dan terbias masuk.
Stoke terus mengejar kedudukan sebaik sahaja separuh masa kedua dimulakan, kali ini giliran Walker "menganugerahkan" gol buat The Potters selepas tandukan Diouf terkena lututnya sebelum bola masuk ke dalam gawang.
Tersentak dengan kebangkitan pelawat, City kembali melancarkan serangan dan hasilnya, tiga gol berjaya diraih dalam masa tujuh minit.
Hantaran leret Kevin de Bruyne dari sebelah kanan membolehkan Jesus meraih gol kedua peribadi pada minit ke-55, sebelum Fernandinho menambah gol kelima menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti lima minit kemudian dan disusuli gol keenam oleh Sane pada minit ke-62.
Enam jaringan nyata tidak memberikan kepuasan buat anak-anak buah Guardiola apabila bekas pemain AS Monaco, Bernardo Silva, menjaringkan gol pertama buat City sejak berpindah ke England musim panas lalu.
Kelicikan Sterling menggelecek pertahanan pelawat membolehkan Bernardo mudah menewaskan penjaga gol, Jack Butland, dan keputusan kekal 7-2 sehingga tamat permainan.
Kemenangan itu membolehkan The Citizens mencatat rekod baru dalam EPL dengan muncul sebagai pasukan terbanyak menjaringkan gol selepas lapan perlawanan dengan 29 jaringan.