Cahya Mata Sarawak Super Series Final 2024: Gagal atasi catatan 16 meter nafikan kejuaraan buat Andre Anura
King Hisyam
November 17, 2024 15:19 MYT
November 17, 2024 15:19 MYT
Andai ditanya barangkali mungkin hanya sedikitlah perasaan terkilan oleh jaguh lompat kijang negara, Andre Anura dek kerana kempunan untuk merangkul gelaran selaku juara keseluruhan pada Kejohanan Siri Akhir Cahya Mata Sarawak Super Series 2024.
Manakan tidak, sudah tujuh pingat emas dirangkulnya sepanjang kejohanan ini berlangsung sekaligus bolehlah dianggap rentetan prestasi dan pencapaian yang cukup sempurna dipamerkan oleh atlet yang berasal dari Tenom, Sabah ini.
Andre hanya dinafikan kejuaraan keseluruhan disebabkan faktor kegagalanya untuk merekodkan lompatan untuk mencatat 16 meter pada kejohanan itu.
Namun kegagalan itu juga turut dikaitkan dengan faktor kekurangan atlet yang bertanding di mana ada kalanya acara kegemaranya itu hanya membabitkan penyertaan dua atlet sahaja.
Kekurangan tersebut menyebabkan jurang masa setiap lompatan menjadi sangat pantas dan ia telah mengakibatkan gangguan buatnya dalam mengekalkan corak dan rentak pada setiap larian beliau.
Sedangkan jelas Andre, dia sebenarnya mengharapkan akan adanya penyertaan yang lebih ramai sekaligus mampu memberikanya persaingan yang lebih sihat dan sengit untuk dijadikan sebab melonjakkan prestasi semasanya.
Kenyataan Andre itu sememangnya berasas memandangkan dia kelihatan agak begitu bergelut untuk mencari henjutan terbaik bagi mencapai rekod yang dirasakan lebih kompentitif buatnya iaitu 16 meter.
"Pertamanya saya memang datang ke kejohanan ini dan meletakkan sasaran untuk buat catatan terbaik. Kalau boleh saya nak buat catatan yang melepasi 16 meter tapi ia tidak tercapai.ia agak sejarah jugalah sepanjang kerjaya saya di mana hanya dua orang saja yang bertanding.
"Sebelum ini pun kalua paling sikitpun ada juga lima hingga enam orang peserta, tapi walaupun dua orang kami beri saingan yang sangat menarik walaupun memang sangat penat." Jelasnya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis yang membuat liputan itu pada Ahad.