Bruno Fernandes dijangkiti COVID-19 dan mungkin terlepas perlawanan getir di tempat sendiri ketika menentang Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL), Rabu ini.

Perancang itu terlepas kemenangan 3-2 Manchester United ke atas Tottenham di Old Trafford semalam tetapi punca kehilangannya tidak didedahkan sebelum pengurus sementara, Ralf Rangnick, mengesahkan Fernandes berlumba dengan masa untuk cergas bagi menghadapi pertemuan kedua pusingan 16 UCL berkenaan.

Luke Shaw pula berpeluang untuk kembali tersenarai selepas bebas daripada pandemik itu sambil Rangnick masih menaruh harapan untuk mengetengahkan Scott McTominay yang dibelenggu masalah betis.

Bercakap mengenai Fernandes, Rangnick berkata: "Saya belum pasti.

"Tetapi dengan Scotty, saya harap begitu. Dia berdepan beberapa masalah otot betisnya. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk merehatkannya ketika berjumpa Tottenham kerana seperti Fred, mereka hanya bernilai sekiranya dapat beraksi di tahap 100 peratus kapasiti fizikal.

"Luke diharap dapat berlatih semula hari ini dan mengenai Bruno pula, kami perlu tunggu dan lihat hingga esok.

"Dia mungkin hanya akan dapat disahkan pada saat-saat akhir disebabkan COVID-19."