Bersara atau boikot?
Dayne Azmin
July 14, 2016 09:23 MYT
July 14, 2016 09:23 MYT
Logik atau tidak masuk akal? Sukar difahami mengapa Safiq Rahim yang pada minggu lalu mahu kembali merebut tempat dalam skuad kebangsaan, secara tiba-tiba umumkan persaraan.
Sebelum itu, timbalan ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, yang beraksi penuh kesungguhan pada perlawanan persahabatan menentang Fiji dan pernah berbicara mengenai pusingan kelayakan Piala Asia 2019 , mengambil tindakan serupa.
Yang terbaharu, dua lagi pemain JDT umumkan persaraan termasuk Amirul Hadi Zainal yang baharu sahaja dipanggil bersama pasukan kebangsaan selain S. Kunanlan.
Drama persaraan ini dijangka berterusan untuk beberapa hari ini kerana masih ramai lagi pemain kebangsaan berada dalam pasukan JDT.
Jika satu atau dua orang bersara, kita mungkin boleh katakan keputusan itu nampak logik tetapi bila sudah masuk ke angkat empat dan mungkin akan bertambah, itu memang nampak sesuatu yang pelik.
Penulis mewakili majoriti peminat negara sememangnya berasa kecewa bila keputusan bersara diambil ketika negara masih memerlukan khidmat mereka di pentas antarabangsa.
Memang benar pemain-pemain tersebut ada hak dengan pasukan negeri dan kelab yang mereka wakili namun tugasan buat negara merupakan keutamaan paling tinggi.
Safiq, Aidil, Kunanlan dan Amirulhadi masih ada kudrat yang kuat untuk membantu Harimau Malaysia tambahan mereka nyata bersemangat mahu membawa negara layak ke Piala Asia secara merit.
Ditambah pusingan kelayakan Piala Asia 2019 bakal menjelang tiba dan kejohanan Piala AFF dalam masa terdekat, penulis harap perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat melalui perbincangan yang penuh muhibbah antara FAM dan PBNJ.
Mungkin isu libatkan kecederaan pemain sebaik mewakili pasukan kebangsaan yang pernah diberi perhatian JDT menjadi isu paling utama di sini...dan soalnya adakah mampu capai titik pertemuan dalam soal ini, yang bermaksud situasi menang-menang untuk kedua pihak...
Jauh di sudut hati ini, penulis masih yakin mereka semua masih mahu berbakti kepada pasukan negara dan sekurang-kurangnya ulangi memori manis menjuarai Piala AFF 2010.
Walaupun ramai kecewa dengan prestasi skuad kebangsaan mutakhir ini, penulis perhatikan bila ramai pemain utama ini ambil keputusan mahu bersara, mereka nyata cukup sedih...maknanya mereka masih sayang dengan skuad kebangsaan.
Pesan penulis satu sahaja..Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar...