Javier Mascherano mendedahkan bekas pengurus Liverpool, Rafa Benitez, pernah datang ke apartmennya dan menghalangnya daripada meninggalkan Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Reds memuktamadkan pembelian Mascherano secara pinjaman pada Februari 2007 sebelum membayar £18.6 juta (RM110.7j) untuk mendapatkannya secara kekal dan menamatkan hubungannya dengan Pelaburan Sukan Media pihak ketiga, 12 bulan kemudian.

Walaupun membuktikan dirinya sebagai idola di Anfield dengan membuat 139 penampilan selama tiga setengah tahun sebelum melengkapkan perpindahan ke Barcelona pada Ogos 2010, karier bekas pemain antarabangsa Argentina itu pada mulanya gagal dalam kancah EPL selepas menyertai West Ham United secara pinjaman pada Ogos 2006.

Dengan sekadar membuat tujuh penampilan semasa separuh musim bersama The Hammers dan hanya bermula lima kali, dia hanya muncul sekali selepas lewat Oktober dan berulang kali diketepikan daripada skuad. Akibatnya dengan jendela perpindahan Januari semakin hampir, Mascherano memutuskan untuk meninggalkan EPL.

Bagaimanapun, pemain berusia 39 tahun itu telah mendedahkan Benitez sempat melawat apartmennya dan memujuknya untuk menyertai Liverpool dan peluang beraksi dalam final Liga Juara-Juara (UCL) muncul empat bulan kemudian, lantas pemain Argentina itu tidak menyesal.

“Apabila saya menyedari bahawa saya tidak diturunkan West Ham, idea saya adalah untuk angkat pada musim sejuk,” katanya di Movistar Deportes Peru.

“Dan saya tidak tahu bagaimana Rafa Benítez mengetahui bahawa saya akan pergi tetapi dia sempat menghubungi saya.




“Suatu hari dia datang ke apartmen saya di London bagi meyakinkan saya untuk menyertai Liverpool kerana saya sudah pun menetapkan untuk meninggalkan England dan dia menghalang saya.

“Dalam rundingan kami, saya masih ingat bahawa kami duduk di atas sofa dan ada meja dengan batu kerikil, dia mula menerangkan kepada saya dengan batu kerikil di mana saya perlu bermain.

“Dia mempunyai pelan yang jelas dan dia memberitahu bahawa apa yang saya boleh tawarkan kepada pasukan, tiada seorang pun daripada mereka yang sudah berada dalam skuad ketika itu mampu melaksanakannya. Saya memikirkannya selama seminggu dan akhirnya perpindahan dimuktamadkan.

“Nasib baik saya membuat keputusan yang hebat kerana empat bulan kemudian kami bermain dalam final UCL dengan Milan di Athens.”