Lee Zii Jia menghadirkan berita suram di Axiata Arena hari ini selepas gagal melepasi halangan pertama Terbuka Malaysia.

Pemain perseorangan profesional negara itu tampak begitu tangkas ketika mengungguli set pertama walaupun cuba ditentang seteru dari China, Lu Guangzu.

Kedua-dua sama hebat tetapi Zii Jia mula mengorak kemenangan awal dengan memungut lima mata berturut-turut bagi menjamin kemenangan.




Skrip hampir sama berlaku dan walaupun Zii Jia berhasil mengikat kedudukan 17-17 hingga mata ke-19, Guangzu nyata lebih tenang untuk memungut dua mata kemenangan set kedua.

Harapan peminat tempatan makin meleset selepas atlet kelahiran Kedah itu kian tidak bermaya termasuk mula terperangkap dengan kesilapan sendiri untuk membiarkan lawannya menguasai set ketiga 15-21.

"Strategi bertahan Lu Guangzu menjadi walaupun dalam set pertama masih goyang. Tapi permainannya semakin menjadi selepas itu.

"Ada (elemen) permainan -- selepas berunding dengan jurulatih, Wong Tat Meng, yang menjadi di atas gelanggang tapi di penghujung permainan, banyak kesilapan yang berlaku.

"Saya rasa ada peningkatan. Saya harus terus berusaha.

"Susah nak matikan pukulan kerana Lu Guangzu mampu mengangkat banyak pukulan di bahagian mana-mana gelanggang. Itulah strateginya hari ini.

"Nampaknya saya belum yakin lagi dengan kepelbagaian corak pukulan saya dan ia akan meningkat dalam setiap kejohanan.

"Saya sudah biasa dengan kekalahan. Saya juga perlu melihat bahagian positif dan ada perkara yang perlu saya terima hakikat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir, sebentar tadi.