Yew Sin dan Ee Yi terpaksa menunggu lagi detik untuk melunaskan dendam ke atas lawan mereka, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi di mana mereka tewas di peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia 2021 di Sepanyol sebelum ini.

Pasangan negara terpaksa akur dengan kekalahan straight sets 15-21, 9-21.

Berbekalkan memori terakhir yang indah, di mana Yew Sin-Ee Yi menang ke atas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di Kejohanan Asia tahun lalu, wakil negara tampak tidak gentar dengan meraih dua mata pertama perlawanan.

Namun momentum positif wakil negara pantas disekat oleh bekas juara dunia 2021 itu untuk kembali memimpin aksi dengan jurang tipis 5-4, dan seterusnya mendahului 11-9 pada interval set pembukaan.

Rekod pertemuan (7-2) memihak pasangan dari negara matahari terbit itu, dengan Hoki-Kobayashi terus pamer aksi memberangsangkan untuk gah mendahului 16-11, dan kemudian merangkul set pertama 21-16.

Permulaan yang mirip di set kedua, di mana Yew Sin-Ee Yi terlebih dahulu langkah kanan, sebelum Hoki-Kobayashi kembali mengikat kedudukan dua sama.

Namun beregu dari Jepun ini tampak sukar digugat, jauh meninggalkan Yew Sin-Ee Yi 11-4 pada interval set kedua.

Kesilapan demi kesilapan terus menghantui pasangan negara, ibarat memberikan mata 'percuma' kepada pihak lawan.

Yew Sin-Ee Yi akhirnya akur tewas di pusingan suku akhir Terbuka Malaysia sekaligus kini hanya tinggal Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sebagai taruhan terakhir Malaysia yang akan turun beraksi selepas ini.