Astro meneruskan kerjasama sebagai kesinambungan komitmen bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selaku rakan penganjur Liga Sepak Takraw (STL) selama 10 tahun sehingga 2032 demi pembangunan masa depan sukan sepak takraw, bukan sahaja di peringkat domestik, malah ke negara negara serantau.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, menganggap kerjasama baik dan utuh sejak sekian lama dengan PSM sejak 2014 sehingga kini, telah membawa perubahan dan nafas baru kepada landskap sukan warisan berkenaan untuk kembali rancak.

"STL telah mencetuskan fenomena yang luar biasa sehingga pelbagai kejayaan telah ditempa termasuk meraih sekitar 15.6 juta penonton di antara tahun 2018 dan 2021 selain bekerjasama dengan beberapa syarikat penyiaran antarabangsa untuk melebarkan sayap dan perhatian buat pertandingan ini.

"Untuk musim 2021/22, siaran STL telah menembusi pasaran lebih daripada enam negara, termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan HongKong, yang memberi petunjuk baik daripada segi penerimaan buat sukan ini. Liga kompetitif dan berprestij ini telah menjadi tumpuan peminat serantau dan sudah tentu kami ingin menjadikan STL satu acara sukan yang gah dan premium untuk disiarkan ke seluruh dunia.

"Dengan kejayaan ini, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi hab sukan dan kuasa besar sukan sepak takraw di rantau ini.

"Ini juga adalah salah-satu langkah untuk meningkatkan kualiti pemain negara dalam melahirkan pemain sepak takraw bertaraf dunia," katanya.

Sementara itu Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, pula yakin dengan termeterainya kerjasama berkanaan, ia akan merancakkan lagi usahasama antara kedua-dua pihak dalam memberikan impak positif mentransformasikan sukan itu.

"PSM selaku badan induk sukan negara yang diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama MOM, Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang memberikan sokongan dan dukungan dalam penganjuran kejohanan STL selama ini.

"Persatuan ini mempunyai sasaran jelas untuk memartabatkan kembali nama Malaysia dalam sukan ini melalui komitmen jangka panjang bersama ASTRO, yang mempunyai platform besar dalam mempromosikan sukan tradisi ini.

“PSM juga telah bekerja keras sebelum ini dalam menjadi pelopor sukan ini dan usaha ini tidak akan terhenti begitu saja, kami akan terus berganding bahu merangka strategi baru dan hala tuju dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan sukan ini di persada antarabangsa,” katanya.

Saksikan Emas Anuar STL edisi ke-8 yang sedang berlangsung sehingga 26 Mac ini di AstroArena (Saluran 801) atau layari aplikasi Astro GO.