Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale, menyahut tawaran kontrak baru selepas pemain antarabangsa England itu membuktikan dirinya sebagai tokoh penting di Stadium Emirates sejak dia dibeli daripada Sheffield United pada 2021.

Perjanjian Ramsdale sebelum ini akan tamat pada 2025 dan dilanjutkan hingga 2026 dengan Arsenal mempunyai pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi, menurut agensi berita, PA.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata: “Kami semua sangat gembira kerana Aaron menandatangani kontrak baharu.

“Cara Aaron berkembang sejak dua tahun lalu adalah luar biasa berdasarkan persembahan, sumbangan dan penyesuaian keseluruhannya di kelab ini.

“Adalah sangat bagus kami dapat terus membina masa depan kami dengan bakat terbesar dalam skuad muda kami. Kami semua tidak sabar-sabar lagi untuk menikmati lebih banyak tahun lagi bersama Aaron -- sebagai pemain dan individu di kelab ini.

Ramsdale tampil 39 kali untuk Arsenal musim ini dan mengekalkan rekod 15 gol tanpa bolos dalam semua pertandingan.



Pengarah Sukan The Gunners, Edu, menambah: “Adalah sangat bagus kami telah mencapai kesepakatan dan melengkapkan kontrak baru dengan Aaron.

“Kami menikmati begitu banyak detik positif dalam persembahannya sepanjang dua tahun bersama kami dan kami menantikan lebih banyak potensinya lagi.

"Kita juga harus ingat bahawa Aaron masih sangat muda, jadi masih banyak lagi perkembangan yang akan ditawarkannya sambil kami terus membina asas barisan muda ini."