ARRC: Tanpa TMJ, saya mungkin tidak berlumba tahun ini -- Hafizh Syahrin
Najmi Iman
December 9, 2024 19:02 MYT
December 9, 2024 19:02 MYT
"Terima kasih Tunku Mahkota Johor (TMJ)" -- Demikian luahan pelumba sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin, yang menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan kategori asb1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.
Dia yang dikenali sebagai Pescao itu memungut 154 mata apabila mengakhiri perlumbaan kedua di Litar Antarabangsa Chang, Thailand di tempat ke-10 dalam penampilan pertamanya di pentas tersebut.
"Saya merasakan saya menonjolkan persembahan terbaik dalam penampilan pertama ARRC ini bersama pasukan baru (JDT Racing Team) dan jentera baru.
"Kami tiada informasi ketika bermula daripada awal sehingga habis musim. Banyak pengubahsuaian yang perlu dilakukan selepas ini.
"Kami menjumpai pelarasan terbaik pada hari terakhir dan ketinggalan sedikit di belakang.
"Kami hampir melakukan peningkatan tetapi tidak mencukupi.
"Saya percaya kami mampu membuat lebih baik pada masa akan datang.
"Meskipun saya mempunyai pengalaman yang banyak sebelum ini, saya tetap mempelajari perkara baru.
Ketika ditanya oleh wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, mengenai TMJ, dia menjawab: "Syukur Alhamdulillah, apa yang TMJ tawarkan lebih daripada mencukupi, cuma bukan rezeki saya tahun ini.
"Terima kasih kepada TMJ. Tanpa Tunku, mungkin saya tidak dapat berlumba tahun ini," katanya.