ARRC: Hafizh Syahrin yakin tawan litar Buriram
Najmi Iman
December 5, 2024 20:14 MYT
December 5, 2024 20:14 MYT
Pelumba Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, berhasrat ingin menamatkan pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 sebagai juara keseluruhan.
Dia yang dikenali sebagai Pescao itu sudah memastikan jentera diselia rapi selepas tamat aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menghadapi cabaran terakhir terutamanya pelumba dari Jepun (Yuki Kunii), Indonesia (Andi Farid Izdihar) dan Thailand (Nakarin Athiratphuvapat).
"Sekiranya dua perlumbaan tersebut dapat kedudukan pertama, maksudnya juara keseluruhan akan menjadi milik saya.
"Saya harap ia berlaku seiring dengan kehendak saya. Saya akan bekerja keras dan bersedia beraksi dengan baik.
"Kami menyedari bahawa jentera boleh diperbaiki selepas perlumbaan di Sepang. Saya mohon ada kemajuan ketika menunggang motor ini di sana," katanya di Nadi Arena.
Pungutan 137 mata meletakkan Pescao di tempat ketiga keseluruhan yang mengidamkan podium tertinggi di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand bermula 6 hingga 8 Disember ini.