ARRC: Hafizh Syahrin sambar podium di Litar Antarabangsa Sepang

Saufi Tahir
September 15, 2024 17:20 MYT

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, meraih podium selepas menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan 5, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Sepang, sebentar tadi.

Pelumba kategori Asia Superbike 1000cc itu memulakan perlumbaan di P1 sebelum dipintas oleh dua wakil Jepun, Yuki Kunii serta Soichiro Minamimoto, dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlumbaan.
Pelumba berusia 30 tahun itu kini mengumpul 137 mata selepas lima perlumbaan untuk berada di kedudukan ketiga carta pelumba
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, perlu mengerahkan jentera BMW M1000RR hingga garisan penamat selepas diberikan cabaran lewat daripada Andi Farid Izdihar untuk menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Dia mengumpul 115 mata secara keseluruhan selepas lima perlumbaan dan berjaya menyambar podium tempat kedua dalam Perlumbaan 1 semalam.
Pusingan keenam di Litar Buriram, Thailand pada 6 hingga 8 December depan bakal menjadi pelantar terakhir musim ini.

#ARRC #Permotoran #Azlan Shah Kamaruzaman #Hafizh Syahrin #Kejuaraan Motosikal Asia