ARRC: Akibat perlanggaran, Akid Aziz terlepas gelaran juara keseluruhan
Najmi Iman
December 8, 2024 19:53 MYT
December 8, 2024 19:53 MYT
Md Akid Aziz kempunan tamatkan musim sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 selepas terjatuh di tangga ke-13 sewaktu Perlumbaan 2, hari ini.
Akid Aziz berada di landasan terbaik untuk menutup persembahan tahun ini dengan kecemerlangan selepas berada di kedudukan pertama keseluruhan meskipun berada di tempat keempat, semalam.
Begitupun, ekoran perlanggaran di selekoh terakhir ketika sedang mendahului di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, sebentar tadi, Akid terpaksa akur dengan nasib yang menimpa dirinya, sekali gus terlepas gelaran tertinggi kategori 150.
"Perkara sebegitu kita tidak boleh jangka kerana perlumbaan yang terlampau ramai. Saya tidak sangka jatuh di pusingan terakhir sebab perlanggaran.
"Saya rasa ia bukan rezeki saya.
"Saya memang kecewa kerana peluang sudah tiada.
"Selepas ini, saya mahu bangkit dan fokus supaya tidak kalah lagi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.