ACLE: Hector Bidoglio enggan terkesan status Kim Pan-gon, fokus raih tiga mata

Saufi Tahir
November 4, 2024 12:20 MYT
Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio, memberikan fokus sepenuhnya dalam menyediakan pasukan menjelang perlawanan berdepan Ulsan HD tanpa terlalu memikirkan status Kim Pan-gon yang merupakan bekas jurulatih pasukan kebangsaan sebelum ini.
Bidoglio beranggapan kelab dari Korea Selatan itu pasukan yang kuat tetapi dia optimis pasukannya akan memberikan aksi terbaik menjelang aksi keempat Kumpulan A, Liga Juara-Juara Elit (ACLE) itu.
JDT kini berada di kedudukan kelima dengan enam mata selepas tiga perlawanan dalam saingan Kumpulan A ACLE.
"Pasukan dalam keadaan baik, ia akan menjadi aksi yang sengit. Tetapi prestasi kami sehingga kini juga sangat baik.
"Kami tahu Ulsan pasukan yang bagus dan kuat, saya tidak melihat siapa jurulatih mereka, saya fokus pada diri dan pasukan serta fikir bagaimana untuk meningkatkan prestasi pemain kami. Itu lebih penting.
"Ulsan pasukan yang besar tetapi JDT juga semakin berkembang dari masa ke semasa. Kami menghormati pasukan lawan, ia merupakan perlawanan yang penting dan kami perlu persembahkan potensi terbaik kami." katanya.
Dalam pada itu, pertahanan JDT, Jordi Amat, mahu mengambil peluang beraksi di laman sendiri dengan kehadiran penyokong dan keluarga untuk membantu JDT melakar tiga mata di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
"Kami teruja untuk beraksi di laman sendiri dengan kehadiran penyokong dan keluarga kami esok. Tidak sabar untuk berikan aksi yang terbaik nanti.
"Ulsan pasukan terbaik di Korea Selatan. Mereka berlawan untuk terus bersaing dalam peringkat kumpulan. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi kami percaya akan melakar kemenangan esok.
"Saya gembira selepas pulih daripada kecederaan dan sedia untuk memberikan aksi terbaik seperti biasa." tambah Jordi Amat.
#bola sepak #JDT #Kim Pan-gon #Hector Bidoglio #ACLE #Ulsan HD
;