Zii Jia umum Liew Daren sebagai penolong jurulatih, rakan sepelatih peribadi

Muzaffar Musa
March 6, 2022 22:07 MYT
Perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, akan turun beraksi dalam kejohanan Badminton Terbuka Jerman bermula Selasa ini dengan pasukan baru.
Selepas mengumumkan Indra Wijaya sebagai jurulatihnya, pemain nombor tujuh dunia itu kini mengumumkan pula kehadiran pemain veteran, Daren, yang akan membantunya mencapai misi pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
"Dalam pasukan saya, kebanyakan sudah tahu saya ada jurulatih Indra," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly.
"Kemudian kami juga ada ahli fisioterapi, Sandra (Fiedler), yang merupakan bekas pegawai ISN (Institut Sukan Negara).
"Jurulatih kecergasan saya pula adalah Lim Joe Heang, dia juga baru sahaja meninggalkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia).
"Kemudian, Liew Daren akan bertindak sebagai penolong jurulatih dan rakan sepelatih saya kerana dia pemain yang berpengalaman dan senior saya.
"Selain itu, saya juga memiliki dua rakan sepelatih separuh masa.
"Saya amat gembira mendapatkan mereka dalam pasukan saya kerana ia memang satu pasukan yang saya inginkan sejak sekian lama dan ia menjadi kenyataan.
"Saya amat bertuah dan gembira untuk bekerjasama dengan mereka. Saya amat yakin dengan mereka.
"Saya memberitahu mereka bahawa kami merupakan sebuah keluarga dan sasaran kami sama, Sukan Olimpik Paris 2024. Hanya itu yang kami mahukan," katanya.
#badminton #Lee Zii Jia #Liew Daren #Badminton Terbuka Jerman
;