Perseorangan negara, Lee Zii Jia, teruja untuk berentap dengan nombor satu dunia, Kento Momota, apabila Malaysia bakal mencongak perhitungan dengan Jepun dalam aksi Piala Sudirman dan Piala Thomas yang bermula bulan depan.

Zii Jia mengakui memiliki formula untuk mengecewakan Momota, sama seperti ketika bergelar juara dalam Kejohanan Seluruh England, Mac lalu.

Tetapi kekuatan mental paling utama sebagai azimat perjuangannya di atas gelanggang kelak.

"Berdasarkan Kejohanan Seluruh England dan Sukan Olimpik Tokyo bukanlah satu keputusan yang bagus untuk Momota. Saya rasa dengan karakternya, dia boleh bangkit lebih hebat.

"Sudah semestinya saya mahu menang. Saya akan bersedia 100 peratus untuk menyahut cabaran ini, tidak kira dalam Piala Sudirman dan Piala Thomas.

"Kemungkinan saya akan berjumpa dengannya. Saya akan menikmati perlawanan itu dan buat persediaan yang paling bagus," katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, sebentar tadi.

Begitupun, dia memaklumkan kem negara tidak perlu meletakkan sasaran khusus dalam kejohanan di di Finland dan Denmark itu dalam usaha memburu kejayaan.

"Kalau lawan pemain utama, paling penting mental tidak boleh kalah.

"Tahap kekuatan mental pemain dalam kelompok lima terbaik sangat ampuh. Saya tidak boleh kalah kepada mereka di sudut fikiran.

"Kalau boleh saya tidak perlu sasaran.

"Kami boleh dikatakan pasukan muda. Ramai yang tidak berpengalaman. Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada pasukan ini."