V Shem ambil risiko beraksi dalam kesakitan

Penulis Jemputan
June 8, 2017 12:22 MYT
Beregu lelaki negara utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, tetap mengambil risiko beraksi dalam Siri Super Premier Terbuka Indonesia meskipun kedua-duanya masih dibelenggu kecederaan lutut.
Susulan kempen mengecewakan dalam Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, bulan lalu, jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, bercadang untuk merehatkan V Shem-Wee Kiong.
Bagaimanapun, V Shem menegaskan keputusan untuk tetap beraksi di Jakarta adalah atas dasar perbincangan semua pihak di sebalik sedar apa yang diperlukan untuk menangani kecederaannya.
Aksi kompetitif adalah apa yang diperlukan pasangan beregu itu dengan V Shem mengakui moral mereka tercalar ekoran kekecewaan demi kekecewaan pada musim ini.
"Kami menjalani proses pemulihan pada setiap hari dan berharap dapat mempamerkan aksi terbaik dalam Terbuka Indonesia dan Australia.
"Selepas kekecewaan dalam Piala Sudirman, saya harap kami dapat mengembalikan keyakinan dalam pertandingan akan datang," kata V Shem.
Antara kesan daripada beraksi dalam kecederaan itu sepanjang musim ini adalah corak agresif dan efektif.
Selain Jakarta, Siri Super Terbuka Australia akan menjadi medan buat mereka dalam mempelbagaikan corak permainan sebelum misi sebenar dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.
"Keadaan saya ketika ini tidak berapa bagus. Kecederaan ini mengehadkan saya untuk melakukan lompatan dan larian.
"Oleh itu, ia menjejaskan pukulan dan pergerakan saya."
#Malaysia #Badminton Association of Malaysia
;