Unifi Piala Malaysia: Lenggok gemalai Akhyar buat Melaka mati akal kekang jaringan Terengganu
Muzaffar Musa
November 23, 2024 23:02 MYT
November 23, 2024 23:02 MYT
MELAKA 1 TERENGGANU 4
Terengganu membawa bekalan selesa daripada aksi pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia apabila menewaskan pasukan dari Liga A1, Melaka, 4-1 di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.
Akhyar Rasyid muncul pemain paling cemerlang dalam perlawanan kali ini, di mana dia terlibat dengan ketiga-tiga gol pertama Terengganu dalam pertemuan itu
Pemain kelahiran Alor Setar itu melakukan larian dari sebelah kiri sebelum melakukan lintangan tepat menuju ke kaki Safawi Rasid, yang kemudian melepaskan rembatan voli kaki kiri menuju ke gawang Melaka seawal minit kelapan.
Enam minit berselang, Akhyar sekali lagi melakukan gerakan licik dari sebelah kiri sebelum dia dijatuhkan Hafiz Johar dalam kawasan penalti dan pemain sayap itu kemudian menyudahkan sendiri sepakan itu untuk Terengganu selesa mendahului 2-0.
Pemain kebangsaan itu terus menghantui Melaka dalam babak kedua, di mana dia memperoleh jaringan kedua peribadinya dengan menanduk masuk lambungan Nurillo Tukhtasinov, yang kemudian disahkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) pada minit ke-54.
Dua minit berselang, Fuseini Issah menghidupkan sedikit harapan buat Melaka apabila merapatkan jurang jaringan dengan menanduk masuk lintangan Fikri Shah.
Bagaimanapun, keadaan itu hanya sementara, di mana Terengganu sekali lagi berkelebihan tiga gol pada minit ke-90 hasil ledakan jarak jauh Alif Zakaria.
Kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu dalam aksi timbal balik di Kuala Terengganu pada Jumaat depan.