Unifi Piala Malaysia: Kami sudah jangka sukar beraksi di padang seperti ini -- Kapten Selangor
Muzaffar Musa
November 24, 2024 18:58 MYT
November 24, 2024 18:58 MYT
Kapten Selangor, Safuwan Baharudin, mengakui pasukannya sudah menduga akan sukar beraksi dalam keadaan padang berlopak ketika terikat 1-1 dengan Sri Pahang dalam perlawanan pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia di Stadium Temerloh malam tadi.
Sebaik hujan membasahi bumi Temerloh, Sang Gergasi Merah seakan-akan tahu bahawa tugas berat terpaksa diharungi mereka sepanjang perlawanan itu.
Senario paling ditakuti mereka akhirnya berlaku apabila 30 minit sebelum sepak mula, kondisi padang jelas memberikan kelebihan besar buat tuan rumah.
Selain terpaksa mengorbankan corak permainan hantaran pendek, Selangor juga perlu segera mengadaptasi permainan hantaran tinggi.
Mereka dibolosi jaringan Sean Selvaraj seawal minit ke-27 tetapi mujur tandukan Nikola Jambor gagal ditangkap kemas penjaga gol Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimuddin, untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 menjelang aksi kedua di Petaling Jaya hujung minggu depan.
Safuwan, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, berkata: "Kami sudah jangkakan selepas keadaan cuaca seperti ini dan ketika kami sampai, hujan memang sudah lebat, jadi kami cuba menjangkakan yang tidak dijangka.
"Malam ini, keadaan agak sukar dengan keadaan padang (berlopak) dan hujan yang berhenti dan bersambung semula.
"Ia keputusan yang adil tetapi saya fikir kami mencipta banyak peluang," katanya.