Unifi Piala Malaysia: Dua gol dramatik PDRM pastikan Negeri Sembilan tumbang di Paroi

Muzaffar Musa
November 24, 2024 23:11 MYT
NEGERI SEMBILAN 1 PDRM 2
PDRM menjaringkan dua gol dalam waktu kecederaan untuk bangkit menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.
Hujan lebat pada awal pertemuan itu menyaksikan padang mula ditakungi air dan menjejaskan permainan kedua-dua pasukan sehingga tiada sebarang jaringan terhasil dalam babak pertama.
Aksi sebenar bermula dalam separuh masa kedua, di mana kedua-dua pasukan mula berbalas serangan dan Negeri Sembilan terlebih dahulu memecahkan kebuntuan jaringan hasil gerakan solo menarik A. Selvan pada minit ke-69.
Segalanya tampak memihak tuan rumah untuk membawa bekalan tipis menjelang pertemuan kedua di Stadium Selayang pada Jumaat ini tetapi The Cops ada rencana berbeza.
Bekas penyerang skuad B-23 kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak, memulakan kebangkitan PDRM dalam waktu kecederaan apabila menyamakan kedudukan dengan menanduk masuk lambungan Ifedayo Olusegun.
Tidak cukup dengan itu, Ifedayo melengkapkan kebangkitan Sang Saka Biru dengan menolak masuk gol kemenangan selepas menerima hantaran leret Bruno Suzuki.
#bola sepak #Piala Malaysia #Negeri Sembilan FC #PDRM FC
;