Pasukan berstatus universiti, UiTM FC, sah akan membuat kemunculan semula dalam kancah Liga Malaysia setelah menarik diri daripada Liga Super 2023.

Menerusi penjenamaan semula, kelab itu kini dikenali sebagai UiTM United dan akan mengharungi cabaran Liga M4 musim ini.

Kelab berkenaan mengadakan majlis memperkenalkan pemain di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam hari ini.

Dengan nafas baru, pasukan itu akan dibimbing oleh Yazli Yahya, yang pernah mengemudi skuad negara dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada 2018.

Pasukan itu juga akan dibarisi 100 peratus pelajar universiti berkenaan dengan sembilan daripada 30 pemain mereka pernah beraksi dalam Liga Super musim lalu.

Dengan bajet sebanyak RM300,000 semusim, UiTM United enggan terburu-buru dalam mengejar tempat ke saingan Liga Super dalam tempoh terdekat.

"Kami berharap mereka kali ini dapat menunjukkan prestasi yang baik sepertimana sebelum ini, di mana kami mampu bersaing dengan pemain-pemain senior yang mewakili negeri di peringkat kebangsaan," kata Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Sazili Shahibi, seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Kami berbangga kerana kami merupakan pasukan dengan 100 peratus pelajar dan berharap pelajar yang kami latih dan asuh ini akan dapat menyertai pasukan yang hebat dalam Liga Super suatu hari nanti.

"Harapan kami adalah supaya penyertaan kali ini, UiTM United dapat sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

"Tetapi saya rasa separuh akhir itu terlalu rendah. Dengan kemampuan pelajar-pelajar kami, saya rasa kami mampu ke final.

"Memandangkan ini adalah penyertaan pertama kami, separuh akhir sudah memadai.

"Bagi masa depan pula, kami belum memutuskan sama ada kami akan pergi liga lebih atas atau kekal seperti ini," katanya.