Tingkatkan taraf bola sepak Kelantan sasaran utama Azmi Ariffin
Najmi Iman
December 28, 2024 19:12 MYT
December 28, 2024 19:12 MYT
Datuk Azmi Ariffin mengesahkan bakal bertanding merebut jawatan presiden menjelang kongres dan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2025-2028 kelak.
Azmi Ariffin berhasrat untuk meningkatkan taraf kemudahan dan fasiliti bola sepak di samping memberi tumpuan kepada program pembangunan akar umbi Kelantan.
Menurutnya, KAFA memerlukan perubahan drastik daripada segenap aspek jika ingin mengembalikan semula era kegemilangan 'The Red Warriors' satu ketika dahulu.
Untuk rekod, Azmi merupakan calon tunggal yang menentang Datuk Seri Afandi Hamzah ketika kongres KAFA kali ke-65.
Bagaimanapun, KAFA menerima tamparan hebat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan mesyuarat tersebut tidak sah susulan pengendaliannya tidak dibuat mengikut prosedur yang betul.
"Saya masih kekal untuk menjadi calon presiden menjelang pemilihan semula. Kalah menang itu adat.
"Saya sudah menyusun beberapa program untuk membangunkan semula daripada dasar. Bukan mudah, hasilnya mungkin selepas lima tahun kemudian.
"Siapa-siapa boleh buat perubahan. Saya berharap setiap ahli gabungan memberi sokongan," katanya di Nadi Weekend.