Tiada sambutan hari lahir buat Zii Jia

Muzaffar Musa
March 29, 2021 19:57 MYT
Tiada sambutan ulang tahun hari kelahiran yang ke-23 buat juara Kejohanan Seluruh England, Lee Zii Jia, selepas menamatkan tempoh kuarantinnya hari ini.
Jaguh negara itu sepatutnya meraikan hari lahirnya hari ini tetapi berdasarkan perbualan wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dengan ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki negara, Hendrawan, Zii Jia dikhabarkan sudah memulakan latihan fizikalnya di gimnasium Akademi Badminton Negara (ABM), Bukit Jalil.
Hendrawan berkata: "Saya tidak banyak berbincang dengannya cuma saya katakan selamat hari lahir dan nikmatilah hari anda hari ini. Dengan umur yang bertambah, tanggungjawab juga lebih besar.
"Esok dia akan memulakan latihan dan kami akan berbincang lagi esok.
"Dia dikuarantin selama seminggu dan tidak buat apa-apa kecuali latihan menggunakan Zoom.
"Jadi, ia (latihan) perlu dilakukan secara berperingkat kerana kami mempunyai masa lebih kurang sebulan untuk mempersiapkannya bagi kejohanan akan datang.
"Apa yang pasti, latihan esok lebih banyak kepada perbincangan kerana saya tidak bersamanya sewaktu dalam Seluruh England, jadi kami akan berbincang mengenai apa yang dirasakannya dan masalah yang dihadapinya dalam kejohanan itu dan seterusnya apa yang akan ditumpukan dan dilakukan kami.
"Mungkin ia lebih kepada sesi perbincangan yang lebih panjang," katanya.
#badminton #Hendrawan #Lee Zii Jia
;