Pentas suku akhir Terbuka Thailand 2023 tidak membawa tuah buat negara selepas dua wakil terakhir negara menerusi bahagian perseorangan lelaki termasuk Ng Tze Yong disingkirkan dalam perhitungan ketiga oleh wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, hari ini.

Selepas mengejutkan pilihan utama kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen, semalam, tonggak negara itu gagal mengulangi ketangkasannya yang menyaksikannya sejak awal set pertama lagi disekat lawan berusia 26 tahun tersebut untuk tewas 19-21.

Enggan kecundang lagi sebagaimana dalam Kejohanan Badminton Asia di Dubai April lalu, Tze Yong cuba bangkit dalam set kedua untuk heret permainan ke set penentuan.

Begitupun, Cheuk Yiu seakan sudah membaca pergerakan Tze Yong dan mengorak langkah untuk merapatkan jurang mata terlebih dahulu sebelum memuktamadkan keputusan kemenangan 23-21.




Sementara itu, satu lagi aksi suku akhir perseorangan lelaki yang menemukan Leong Jun Hao dengan Laksya Sen.

Jun hao tidak menjadikan ranking sebagai halangan apabila memberi tentangan sengit dalam pertemuan ketiga mereka itu.

Rentak kawalan permainan seimbang ditonjolkan kedua-dua pemain tetapi selepas bertarung sengit, set pertama akhirnya dirampas Laksha yang menang tipis 21-19.

Laksha lebih bersedia untuk memonopoli gelanggang menerusi permainan lebih teratur dalam set kedua dan Jun Hao beberapa kali termakan umpanan lawannya dari India itu untuk tewas 11-21.