Terjun Terbuka Malaysia batu loncatan Syafiq Puteh ke Akuatik Dunia

Shaiful Shamsudin
October 31, 2024 19:04 MYT
Pemilik dua pingat emas Sukan SEA yang sinonim dengan acara 3 meter papan anjal, Syafiq Puteh, berazam layak Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura tahun depan, selepas kekecewaan tidak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Lantas, dia menjadikan Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia yang bermula Sabtu ini sebagai pelantar untuknya menyerlahkan kemampuan.
"Sasaran saya sudah tentu ingin layak kerana kami mempunyai mata minimum ke Kejohanan Dunia di Singapura.
"Berdasarkan persiapan terkini, saya rasa boleh mendapatkan kelayakan tersebut.
"Menjelang Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
"Saya sedikit kecewa tidak dapat layak ke Sukan Olimpik, awal tahun lalu jadi saya menetapkan semula fikiran untuk bersedia menghadapi pertandingan akan datang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, hari ini.
Bagi juara bertahan bahagian wanita menjelang Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia Sabtu ini, Nur Eilisha Rania Abrar Raj, persiapan untuk mengekalkan reputasinya berjalan lancar biarpun baru pulih daripada kecederaan.
#Terjun #Syafiq Puteh #Terjun Terbuka Malaysia
;