Terbuka Singapura: Yew Sin-Ee Yi gah ke suku akhir

Muzaffar Musa
June 8, 2023 18:46 MYT
Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, meneruskan cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura apabila layak ke suku akhir dengan menewaskan gandingan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremiah Erich Yacob Rambitan, secara set langsung dalam aksi pusingan kedua di Stadium Tetutup Singapura, Kallang hari ini.
Turun selaku pilihan kelapan, gandingan negara itu ketinggalan pada awal set pertama tetapi mula memacu mata demi mata selepas kedudukan terikat 13-13 sebelum menang 21-17.
Rentak cemerlang itu diteruskan dalam set kedua, di mana mereka memungut enam mata berturut-turut pada awal aksi dan tidak pernah ketinggalan untuk menamatkan pertarungan selama 36 minit itu dengan kemenangan 21-18.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara pilihan kedua dari Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan, dan beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho, bagi penentuan ke separuh akhir esok.
#badminton #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi #Badminton Terbuka Singapura
;