Hasrat untuk menyaksikan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura tidak kesampaian selepas tewas kepada wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn, dalam aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Singapura, Kallang hari ini.

Berdepan lawan pilihan ketujuh itu, Tze Yong jelas bergelut sepanjang set pertama, di mana dia tidak pernah mendahului sebelum tewas 18-21.

Bagaimanapun, pemain di ranking ke-21 dunia itu bangkit di pertengahan set kedua untuk memenangi pertarungan sengit itu 24-22 bagi mengheret ke set penentuan.

Namun, aksi dalam set ketiga kembali menjadi milik Kunlavut untuk pemain Thailand itu mengesahkan tempat dalam suku akhir dengan kemenangan 21-13 selepas bertarung selama 66 minit.