Terbuka Singapura: Dua beregu lelaki negara tiada masalah ke pusingan kedua

Muzaffar Musa
June 6, 2023 13:46 MYT
Dua beregu lelaki negara tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Singapura selepas menewaskan lawan masing-masing di Stadium Tertutup Singapura, Kallang hari ini.
Beregu meningkat naik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, memperoleh laluan percuma apabila lawan dari Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel, tidak dapat turun beraksi.
Gandingan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut mengesahkan kemaraan dengan mengatasi gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong, 21-16, 21-17 selepas bertarung selama 37 minit.
Wei Chong dan Kai Wun akan menantikan pemenang di antara pilihan ketujuh dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, dan beregu Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhese, bagi penentuan ke suku akhir sambil Aaron dan Wooi Yik pula akan mencongak perhitungan dengan pemenang di antara Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia dan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.
#badminton #Aaron Chia #Soh Wooi Yik #Badminton Terbuka Singapura #Man Wei Chong-Tee Kai Wun