Terbuka Singapura: Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir

Ammar Hakim
June 9, 2023 09:17 MYT
Pasangan beregu negara nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, lolos ke separuh akhir Terbuka Singapura selepas mempamerkan kebangkitan mengatasi wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, sebentar tadi.
Selepas hampa terkandas di suku akhir Masters Malaysia minggu lalu, Aaron-Wooi Yik, menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi mengembalikan mereka ke prestasi sebenar.
Bertemu pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, atas kertas kelebihan sememangnya milik pasangan negara yang menang lima daripada tujuh pertemuan sebelum ini.
Namun set pertama, pilihan ketiga kejohanan itu bergelut sebelum akur tewas 21-18.
Kebangkitan segera dijelmakan di set kedua, Aaron-Wooi Yik bijak menyusun gerakan untuk memastikan lawan yang mengisi ranking ke-10 dunia itu mudah melepaskan mata sekaligus mereka menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 21-16.
Dalam set penentuan menyaksikan saingan menjadi lebih dramatik, dengan kesilapan pasangan negara itu menyaksikan lawan yang pada satu ketika jauh ketinggalan pantas mengejar sehingga kedudukan terikat 20-20.
Ketika kemenangan adalah wajib buat pasangan negara, Aaron-Wooi Yik memperkemas aksi untuk kemenangan 22-20, sekaligus mengatur pertemuan separuh akhir berdepan wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
#badminton #Terbuka Singapura