Terbuka Korea: Kian Meng-Pei Jing tidak sangka tamat kemarau lima tahun

Muzaffar Musa
April 10, 2022 21:29 MYT
Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, tidak sangka dapat menamatkan kemarau kejuaraan selama lima tahun apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Stadium Palma, Suncheon hari ini.
Gandingan di ranking kesepuluh dunia itu hanya memerlukan 50 minit untuk menewaskan pasangan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won, 21-15, 21-18 dalam aksi final berkenaan.
Sebagai rekod, ini merupakan final kedua Jelajah Dunia BWF buat Kian Meng-Pei Jing selepas bergelar naib juara Terbuka Singapura pada 2019.
Kali terakhir mereka bergelar juara kejohanan kompetitif adalah dalam Masters Malaysia 2017.
Kian Meng, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, berkata: "Memang gembira dan teruja kerana sudah lama kami tidak bergelar juara dan selepas sekian lama bergelar pemain profesional, baru kali ini kami bergelar juara.
"Dalam set pertama, kami agak bergelut sedikit tetapi selepas kami mengubah strategi, ia mula memihak kami."
#badminton #Lai Pei Jing #Tan Kian Meng #Badminton Terbuka Korea
;