Terbuka Jerman: Yew Sin-Ee Yi mara ke separuh akhir

Ammar Hakim
March 2, 2024 10:26 MYT
Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2024 selepas menyingkirkan cabaran Lu Ching Yao-Yang Pon Han dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim.
Pada perlawanan suku akhir set pertama Yew Sin-Ee Yi yang berstatus nombor 12 dunia tersebut ternyata berdepan tentangan sengit sebelum menang 21-19 bagi mengesahkan kemaraan dalam kejuaraan Super 300 itu.
Set kedua, Yew Sin-Ee Yi lebih konsisten menguasai permainan sebelum menang 21-10 ke atas pasangan dari Taiwan tersebut dalam masa 39 minit bagi mengesah pertemuan menentang pilihan ketiga, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China.
Bagaimanapun dua lagi wakil negara dalam acara beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas di suku akhir selepas ditunjukkan jalan keluar lawan masing-masing
Soon Huat-Shevon Lai pilihan keempat tewas 19-21, 26-28 selepas memberi tentangan sengit kepada beregu dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi 47 minit.
Sementara itu, cabaran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula berakhir dalam masa 52 minit selepas tewas kepada pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 21-13, 13-21, 11-21.-Sinar
#badminton #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi #Terbuka Jerman
;