Terbuka India: Zii Jia ke pusingan kedua, Tze Yong, Daren terkandas
Muzaffar Musa
January 18, 2023 21:16 MYT
January 18, 2023 21:16 MYT
Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka India selepas menenewaskan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, di New Delhi hari ini.
Bagaimanapun, laluan yang dilalui jaguh negara itu bukan mudah, di mana Shesar Hiren memberikan tentangan yang amat sengit sehingga memenangi set pertama 22-20.
Tersentak dengan kekalahan itu, Zii Jia memperkemaskan aksinya untuk mencatatkan kemenangan 21-19, 21-12 dalam dua set berikutnya.
Dia seterusnya akan berdepan pemain China, Li Shi Feng, dalam perlawanan penentuan ke suku akhir esok.
Shi Feng, dalam pada itu, menyingkirkan seorang lagi perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong.
Pemain di ranking ke-20 dunia itu hanya memerlukan 49 minit untuk menewaskan Tze Yong dengan keputusan 21-19, 21-14.
Sementara itu, perseorangan veteran negara, Liew Daren, terpaksa menarik diri dalam set pertama menentang pemain Denmark, Hans-Kristan Vittinghus.
Daren, yang turut menarik diri dalam pusingan kedua Terbuka Malaysia minggu lalu, hanya dapat bertahan di kedudukan 9-11 sebelum memutuskan untuk menamatkan pertarungan itu lebih awal gara-gara kecederaan betis kanan.