Impian pemain badminton profesional wanita negara, Goh Jin Wei, untuk melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Terbuka India 2023 tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan berstatus Super 750 tersebut.

Jin Wei mengakhiri cabaran selepas tewas kepada bekas pemain nombor satu dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon, 13-21, 11-21 dalam masa 27 minit aksi pusingan pertama di Dewan Tertutup KD Jadhav, India sebentar tadi.

Pemain nombor 33 dunia itu sebelum ini mengakui jurang antara dia dan pemain dalam kelompok utama dunia masih jauh susulan tersingkir dalam pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 minggu lalu.

Pemain berasal dari Bukit Mertajam berusia 22 tahun itu, yang menyingkap tirai musim ini dalam Terbuka Malaysia, tewas dalam pusingan kedua kepada pemain nombor empat dunia dari Korea Selatan, An Se Young, 10-21, 12-21.

Kredit: Sinar Harian