Terbuka Denmark: Lee Zii Jia bakal guna TK-Ryuga
Sinar Harian
October 13, 2022 18:32 MYT
October 13, 2022 18:32 MYT
Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, mendapat tonik untuk bersaing dalam kejohanan Badminton Terbuka Denmark apabila bakal menggunakan raket baru dalam kejohanan itu.
Perkembangan itu diumumkan sendiri pemain berusia 24 tahun itu sambil memberitahu dia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor, iaitu sebuah syarikat pengeluar barangan sukan dari Taiwan, sekali gus diberikan penghormatan untuk menggunakan raket model baru TK-Ryuga II, yang dilancarkan Ogos lalu.
"Anda semua mungkin perasan bahawa saya menggunakan TK-Ryuga baru-baru ini.
"Sepanjang bulan lalu, saya beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pasukan saya untuk menyelaraskan perancangan latihan dan meningkatkan prestasi. Saya mencadangkan perubahan raket saya.
"Bagaimanapun, pada masa ini, saya memutuskan untuk menggunakan TK-Ryuga, saya sudah gunakan untuk tempoh yang lama dan berharap dapat mengembalikan perasaan sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Zii Jia membuat hantaran berkenaan sebagai penjelasan kepada peminatnya yang menimbulkan persoalan di media sosial mengenai pertukaran raket pemain itu ketika sesi latihan.
Raket model TK-Ryuga boleh dianggap istimewa buat pemain nombor tiga dunia itu yang menyaksikan dia berjaya meraih kejuaraan Seluruh England 2021 ketika masih bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang ketika itu turut ditaja Victor.
"Saya benar-benar berterima kasih kepada @victorsport_official kerana menerima idea saya dan meletakkan prestasi dan keperluan saya sebagai keutamaan. Sokongan dan kepercayaan mereka membolehkan saya menyahut cabaran ke depan.
"Saya sentiasa gembira mendapat sokongan kuat daripada pasukan saya, keluarga, semua peminat dan penaja saya. Saya akan melakukan segala yang mampu untuk mengembalikan Lee Zii Jia yang tidak gentar dan membuat permulaan yang baru," katanya.
Dalam kejohanan Terbuka Denmark, Zii Jia akan memulakan kempen menentang pemain Belanda, Mark Caljouw, dalam aksi pusingan pertama.
Kredit: Sinar Harian