Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berjaya melangkah ke pusingan 16 selepas merekodkan kemenangan straight set ke atas beregu Jerman, Mark Lamfuss-Marvin Seidel, dalam saingan Terbuka Denmark, sebentar tadi.

Kali terakhir kedua-dua beregu itu berentap dalam saingan Terbuka Switzerland dan kemenangan berpihak kepada Aaron-Wooi Yik.

Namun di set pertama Mark Lamsfuss dan Marvin Seidel yang bermula baik dan mendahului kedudukan hinggalah Aaron dan Wooi Yik berjaya mengikat kedudukan 13-13.

Sejak daripada kedudukan tersebutm, Aaron-Wooi Yik kembali mendahului dan berjaya menang set pertama 21-18.

Di set kedua, Aaron-Wooi Yik lebih fokus dan mendominasi perlawanan.

Pasangan Jerman itu bangkit dan merapatkan jurang mata namun gandingan negara itu tetap kental bertahan sekaligus mengekang lawan dari terus mengejar.

Usaha diperkemas lagi -- Aaron dan Wooi Yik terus menyerang sebelum memastikan kemaraan ke pusingan kedua hasil kemenangan 21-19 dalam aksi yang berlangsung selama 36 minit ini.

Pasangan negara bakal bertemu gandingan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar, dan dijangka tiada masalah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir.