Terbuka China BWF: Yew Sin-Ee Yi tumbangkan beregu tuan rumah untuk ke pusingan kedua

Muzaffar Musa
September 6, 2023 10:58 MYT
Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China BWF dengan menumbangkan gandingan tuan rumah, Ren Xhiang Yu-Tan Qiang, di Guangzhou sebentar tadi.
Penguasaan hampir sempurna dipamerkan beregu negara itu sejak dari awal set pertama dan pada ketika lawan berhasil menyamakan kedudukan 16-16, Yew Sin dan Ee Yi memperoleh lima mata berturut-turut untuk memenangi set berkenaan 21-16.
Tentangan lebih sengit dihadapi pasangan profesional itu dalam set kedua tetapi sebaik menyamakan kedudukan 21-21, Yew Sin dan Ee Yi meraih dua mata terakhir untuk bergelar pemenang selepas bertarung selama 47 minit.
Mereka seterusnya akan menghadapi beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, bagi penentuan ke suku akhir esok.
#badminton #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi #Badminton Terbuka China BWF