Terbuka China BWF: Vivian-Chiew Sien bangkit teruskan kemaraan

Muzaffar Musa
September 6, 2023 09:46 MYT
Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China BWF apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan gandingan Jepun, Rui Hirakomi-Yuna Kato, di Ghuangzhou sebentar tadi.
Pasangan negara itu mula bergelut selepas kedudukan terikat 4-4 dalam set pertama dan selepas itu, mereka tidak pernah dapat mendahului sebelum akur tewas mudah 12-21.
Bagaimanapun, Vivian dan Chiew Sien mempamerkan aksi berbeza dalam set kedua, di mana mereka tidak pernah ketinggalan sejak meraih mata pertama dn seterusnya menamatkan set berkenaan dengan kemenangan 21-11 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Set ketiga menyaksikan cabaran berat buat beregu negara berkenaan apabila sukar memintas mata lawan sehinggalah di kedudukan 15-15 dan selepas itu, kedua-dua pasangan saling berkejaran mata tetapi Vivian dan Chiew Sien berhasil meraih dua mata terakhir bagi menamatkan pertarungan selama 66 minit itu dengan kemenangan 22-20.
Mereka seterusnya akan menghadapi beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, bagi penentuan ke suku akhir esok.
#badminton #Vivian Hoo #Lim Chiew Sien #Badminton Terbuka China BWF