Sekalipun sekadar menang tipis 1-0, Kedah tetap tersenyum puas kerana Terengganu gagal meraih jaringan di laman lawan yang mungkin memberikan Lang Merah sedikit kelebihan menjelang separuh akhir kedua Piala FA dua minggu lagi.

Pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon, berkata perjuangan Kedah masih belum selesai kerana perlu mengekalkan rentak sama dalam separuh akhir kedua.

Biarpun mengakui Kedah masih jauh daripada selamat, dia berasakan bekalan kemenangan tipis malam tadi sebagai sesuatu yang melegakan.

Namun, Syazwan menyedari mereka perlu memperbaiki aspek penyudah jika mahu memastikan impian ke final Piala FA sejak tujuh tahun lalu tercapai.

"Jaringan 1-0 bukan bekalan yang selesa. Kami akan cuba yang terbaik ketika beraksi di Kuala Terengganu nanti.

"Mula beraksi berdepan PKNS, kami sukar menjaringkan gol dan saya percaya jurulatih pasukan memiliki percaturan yang terbaik untuk kami," katanya.

Bagi Terengganu, mereka berjanji akan bangkit habis-habisan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 13 Mei ini, ditambah kehadiran semula dua ayam tambatan, Abdul Latiff Suhaimi dan Lutfulla Turaev.

"Masih berbaki 90 minit aksi di Stadium Sultan Mizan, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kami beraksi tanpa kelibat pemain-pemain import, jelas saingan fizikal sudah memihak kepada Kedah," kata pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.