Sukma Sarawak 2024 di Bumi Kenyalang labuh tirai malam ini
August 24, 2024 09:59 MYT
Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan melabuhkan tirainya setelah 14 hari menyaksikan atlet muda bersaing dengan semangat juang yang tinggi untuk memburu kejayaan gemilang.
Upacara penutupan yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan di sini, malam ini dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persaingan bagi merebut gelaran Olahragawan dan Olahragawati SUKMA 2024 selain juara keseluruhan temasya dwitahunan kebangsaan itu juga akan terjawab malam ini.
Berdasarkan carta kutipan pingat setakat 10 malam tadi, Sarawak mendahului dengan 72 pingat emas, 52 perak dan 66 gangsa.
Wilayah Persekutuan mengekori rapat dengan 69 emas, 62 perak dan 68 gangsa manakala Selangor 51-61-50.
Upacara malam ini akan dihangatkan dengan persembahan pembukaan ‘Sporty Dance’ melibatkan 230 pelajar sekolah rendah dan persembahan kebudayaan Selangor selaku tuan rumah edisi 2026.
Selain itu, penyanyi terkemuka Bob Yusof yang juga anak jati Sarawak, kumpulan De’Fam serta ratu rock Ella akan membuat persembahan dan mendendangkan lagu keramat Standing In The Eyes Of The World.
Beberapa laluan menuju ke Stadium Perpaduan akan ditutup mulai 3 petang ini bagi memastikan kelancaran trafik antaranya bulatan Sesco, bulatan Kesuma Resort, persimpangan Sumber Alam ke Stadium Perpaduan, Jalan Diplomatik, jalan masuk ke Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan Jalan Stadium menuju ke simpang parkir awam.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan serta merancang perjalanan dengan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.
SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain menghimpunkan lebih 12,000 atlet dan pegawai.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016. – TVS